Isnin, 29 November 2010

Pemotong Kayu Yang Jujur

Tersebutlah kisah nun jauh di pedalaman, tinggalnya seorang pemotong kayu yang tua dan miskin. Adapun kemampuannya hanyalah mencari rezeki dengan menebang pokok yang sederhana besarnya untuk dijual sebagai kayu api. Hanya isterinyalah peneman hidup saban hari tanpa dikurniakan anak.
Dijadikan cerita, takdirnya pada suatu pagi.......
Pergilah si tua tersebut jauh ke hutan untuk menebang pokok untuk dibuat kayu api. Tidak seperti kebiasaannya, kali ini si isteri tidak dapat menemani si suami kerana sakit.
Maka ke hutanlah si tua seorangan awal pagi sebelum terbit mentari untuk mencari kayu api. Seharianlah si tua menebang pokok dengan kapak besinya yang telah uzur seuzur usianya.... Sehinggalah kepenatan tidak jua dia berhenti.....
Tiba-tiba... genggamannya semakin lemah lalu terlepas kapak kesayangan dari tangannya lalu tercebur kedalam sungai yg dalam. Menangis sayulah si tua kerana kehilangan kapak yang menjadi punca rezeki... hendak terjun mencari takut disambar arus... meratap lah ia mengenangkan nasib...
Maka...bersimpatilah pari-pari dilangit melihat kegundahan si tua tersebut.... lalu turunlah ia bertanya... "wahai orang tua... kenapa bersedih hati"...
Dengan nada perasaan takut dan terkejut diperamati benar-benar, maka tahulah dia si pari-pari telah turun kebumi menyapakan....lalu diceritakan apa yang berlaku...
"Baiklah..akan kubantu mencari kapak engkau yang tenggelam"... lalu dengan serta merta terjunlah si pari-pari ke dalam sungai.... selang beberapa minit timbul lah kembali si paripari sambil mebawa kapak emas lalu dihulur kepada situa.... Dengan sedih jawab situa "..bukan..ini bukan kepunyaan hamba...tidak mampu hamba memiliki kapak emas ini"....
Lalu terjunlah sekali lagi si pari-pari ke dalam sungai dan timbul kembali bersama kapak perak. Tidak jua mengaku si tua kerana itu bukan kapak miliknya. Sekali lagi si pari-pari terjun lalu membawa pula kapak gangsa. Tidak juga si tua itu menerimanya sehinggalah si pari-pari membawakannya kapak besi yang uzur.
Maka apabila terpandang akan kapak itu...giranglah hatinya kerana itulah kapak miliknya. Lalu si pari-pari menyerahkan kapak tersebut kepada si tua. Sebagai balasan kejujuranya kapak emas, perak dan gangsa turut dihadiahkan.
Pulanglah si tua dengan hati yang gembira. Sesampainya ke rumah lalu diceritakan kepada isterinya apa yang berlaku. Si isteri turut bergembira dengan kejujuran suaminya.
Keesokan harinya isteri si tua itupun sihat

Belalang

Di dalam sebuah taman bunga, terdapat seekor belalang yang suka menyanyi dan menari. Ia berasa gembira kerana dapat hidup di dalam taman yang indah itu. Di dalam taman itu terdapat juga berbagai-bagai jenis bunga seperti bunga raya, mawar, dahlia, kenanga, melur dan cempaka. Taman bunga itu berwarna-warni dan harum. Tiap-tiap hari, belalang akan menyanyi dan menari. Ia akan melompat dari satu pokok ke pokok yang lain. Belalang mempunyai ramai teman di dalam taman itu. Ada rama-rama, kumbang, lebah dan semut. Mereka dapat tinggal di taman itu. Mereka sering bermain dan menyanyi bersama-sama.
Pada suatu hari, belalang mencari kesemua rakan-rakannya untuk bermain tetapi mereka semua sedang sibuk mencari makanan dan berpindah untuk berlindung sebelum musim hujan tiba. Belalang tidak percaya hujan akan tujun sebentar lagi. Ia asyik menyanyi dan menari sendirian. Setelah lama menyanyi, belalang pulang ke rumah dan tidur kerana keletihan. Hujan turun dengan lebat lalu belalang terbangun. Ia berasa sangat lapar tetapi di rumahnya tiada makanan.
“ Bila hujan berhenti bolehlah saya mencari makanan,” katanya dalam hati. Belalang berbaring semula dan tertidur. Apabila dia terjaga, hujan tetap turun dengan lebat. Belalang berasa menyesal kerana tidak mengikut nasihat rakannya untuk mencari makanan sebelum musim hujan. Akhirnya belalang jatuh sakit. Rakan-rakan belalang tidak mengetahui keadaan belalang yang sakit. Apabila hujan berhenti,lebah teringat akan belalang. Dia keluar dari sarangnya dan pergi ke rumah belalang. Ia amat terperanjat melihat belalang yang terlantar di atas katil di rumah.
“Saya akan membawa makanan,” kata lebah kepada belalang apabila melihat belalang terlalu lemah dan pucat. Lebah mencari semut dan rakannya yang lain untuk menolong belalang. Akhirnya belalang sembuh dan sihat. Belalang insaf dan sering mendengar nasihat daripada rakannya.
Diubahsuai dari buku Baiknya Kawan

Pencemaran Sungai

Sejak beberapa tahun, kerajaan telah melancarkan kempen ”Sayangi Sungai ”dalam negara yang merangkumi pelbagai usaha memantau, memulihara, membersih dan  mengindahkan keadaan sungai. Walaupun begitu, belakangan ini, isu pencemaran sungai kian serius sehinggakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid  melahirkan rasa kecewanya kerana tidak terdapat kesan yang boleh dibanggakan terhadap keadaan banyak sungai kita.
Masalahnya tidak kelihatan apa-apa tindakan berkesan dilakukan. Mereka yang mendiami sekitaran sungai seperti pengusaha kilang, peniaga gerai makan dan juga penghuni rumah masih menganggap sungai sebagai tempat untuk menyalurkan sampah dan segala macam sisa yang hendak dibuang.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu mengadakan pelbagai acara membabitkan orang ramai dan industri. Sokongan orang ramai dan swasta adalah penting sekiranya kempen menyayangi sungai dikehendaki mendatangkan kesan. Perasaan cintakan sungai yang mengalir melalui kediaman atau bandar mereka  diami adalah milik mereka juga perlu dipupuk. Hanya dengan cara begini, baru akan timbul perasaan menyayangi sungai mereka sendiri dan dengan itu mereka juga berusaha memuliharanya daripada dicemari. Apa pun kebanyakan sungai dan kawasan lembahnya terus dilanda pencemaran. Malah tahap pencemaran terhadap beberapa batang sungai semakin teruk hingga ada yang terpaksa dikategorikan sebagai sudah ‘mati’.    
Mengikut perangkaan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perairan dan Saliran,   Datuk Keizrul Abdullah, kedudukan sungai dalam negara kita sebenarnya semakin meruncing. Daripada keseluruhan 120 kawasan lembah sungai yang dipantau Jabatan Alam  Sekitar (JAS) kedudukan pencemarannya semakin buruk dari tahun ke tahun. Pada tahun 2002, masih ada 63 sungai dikategorikan sebagai bersih, tetapi setahun  kemudian hanya tinggal 58 sungai yang masih bersih. Pada 2002, 43 sungai dianggap sudah tercemar manakala setahun kemudian jumlah sungai yang tercemar meningkat kepada 53. Bagaimanapun,  jumlah sungai yang mengalami pencemaran teruk tinggal sembilan batang saja pada 2003 berbanding dengan 14 sebelum itu. Tidak diketahui apakah yang menyebabkan lima sungai yang tercemar teruk pada 2002 bertambah baik setahun kemudian.  
Pemantauan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa kiranya tidak ada rancangan berkesan memelihara kebersihan sungai, kedudukan kebanyakan sungai dalam negara akan terus dilanda pencemaran. Hal ini disebabkan, keseluruhannya rakyat negara ini amat kurang prihatin terhadap tahap kebersihan sungai. Kebanyakan daripada mereka seolah-olah tidak pernah terfikir bahawa merekalah juga yang menyebabkan keadaan kebanyakan sungai kita terus tercemar. Penghuni rumah di tepi sungai baik setinggan atau pun tidak, berterusan menganggap sungai seperti saliran membuang najis dan sampah. Kalau  diperhatikan kawasan perumahan, bangunan dan rumah kedai yang didirikan 30 atau 40 tahun lalu semuanya membelakangkan sungai. Ramai ketika itu  menjadikan sungai sebagai saliran sampah dan najis.  Sehingga kini pun ketika pemaju perumahan misalnya sudah tidak lagi  menganggap sungai sebagai saliran sampah dan mula mendirikan rumah menghadap sungai, itupun orang ramai masih tidak dapat mengikis pandangan mereka terhadap sungai.
Selagi tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan, selagi itulah segala usaha untuk memulihkan sungai tidak akan berkesan. Kesedaran demikian ini seharusnya dipupuk daripada bangku sekolah lagi. Perasaan cinta akan sungai dan prihatin terhadap persekitaran alam didedahkan kepada murid di sekolah lagi supaya apabila dewasa kelak mereka akan lebih prihatin terhadap usaha kebersihan alam sekitar. Media juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran orang  ramai terhadap pentingnya sungai dipelihara supaya terus bersih.
Demikian juga walaupun ada pelbagai peraturan dan undang-undang mencegah kotoran dan sisa pengilangan atau ternakan dibuang ke sungai, kegiatan tidak bertanggungjawab ini tetap diteruskan.  Pemantauan dan pencegahan oleh Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan perlu ditingkatkan. Lazimnya,  apabila pencemaran didedahkan media, barulah mereka bertindak. Bahkan kadangkala pesalah hanya dikenakan kompaun yang tidak seberapa sehingga tidak wujud perasaan takut menghadapi tindakan. Walaupun ada peruntukan membolehkan kilang yang secara berterusan membuang sisa dan sisa toksik ditutup, apakah tindakan drastik demikian ini pernah diambil? Sebenarnya kalau ada kemahuan, sungai-sungai ini sememangnya boleh dipulihkan menjadi bersih agar ikan akan dapat membiak kembali dan berbagai-bagai kegiatan riadah dan pelancongan boleh dilaksanakan menggunakan sungai terbabit.
Jelasnya, segala usaha mungkin akan mengambil masa tetapi sekiranya ada keazaman dan dengan perangan rapi dan dapat pula dilaksanakan dengan betul tanpa pengecualian tentunya sungai-sungai yang terjejas dapat dipulihkan.( Minda Bahasa 2007)

Sabtu, 27 November 2010

Penulisan Bahagian A

Tulis lima ayat yang lengkap tentang aktiviti-aktiviti yang terdapat dalam gambar.
 

1. Gambar di atas menunjukkan situasi para penjual dan para pembeli di sebuah pasar minggu.
2. Seorang lelaki sedang berurusan dengan penjual sate, dia hendak membeli sate ayam.
3. Seorang ibu dan dua orang anaknya hendak membeli minuman sejuk daripada sebuah gerai.
4. Seorang wanita ingin membeli sehelai baju, dia sedang tawar-menawar harga baju tersebut.
5. Orang ramai lebih gemar membeli-belah di pasar minggu kerana harganya lebih berpatutan.


Penulisan Bahagian A

Tulis lima ayat yang lengkap tentang aktiviti-aktiviti yang terdapat dalam gambar.



1. Beberapa orang murid sedang berbaris untuk membeli makanan dan minuman di kantin.
2. Seorang pekerja kantin sedang melayan murid-murid yang hendak membeli makanan.
3. Seorang pekerja kantin sedang membasuh pinggan-mangkuk yang telah digunakan.
4. Seorang budak lelaki sedang memasukkan bungkusan makanan ke dalam tong sampah.
5. Beberapa orang murid sedang menikmati makanan yang mereka beli di kantin tersebut

Aku seekor kucing


Badanku yang cantik dan buluku yang tebal menjadikan aku kucing yang tercantik di tempatku.Aku berketurunan Parsi dan namaku ialah pretty.
Aku dihadiahkan oleh Encik Zainal kepadanya anaknya,Ahmad ketika meraikan hari lahirnya yang ke-12 tahun.Sebaik-baik sahaja aku diberikan kepada Ahmad,dia terus memelukku dengan erat.
Alangkah gembiranya aku.Aku sering dibelai dan dimanjakan oleh tuan kecilku.Kadang-kadang,buluku disyampu.Makan dan minumku dijaga dengan baik.Alangkah bertuahnya diriku ini!
Pada suatu malam,sedang tuanku nyenyak tidur,ada melihat ada benda sedang melingkar di selimutnya.Sepantas kilatnya,aku menerkam ke arah benda itu.Tuan kecilku terkejut apabila ternampak seekor ular tedung yang besar.Dia menjerit ketakutan.
Mujurlah gerak hatiku dan tindakan aku cepat.Ular tedung itu sempat aku bunuh sebelum mematuk tuanku.Tidak henti-henti tuan aku dan ibu bapanya mengucapkan terima kasih kepadaku.
Sejak peristiwa itu,aku tidak tidur lena kerana risau akan keselamatan tuanku.Aku berjanji akan menjaga keselamatan tuanku selagi termampu.   

Penjodoh Bilangan


1- Penjodoh Bilangan ialah kata yang digunakan bersama-sama dengan kata bilangan.
2- Penjodoh bilangan digunakan untuk menentukan sesuatu benda mengikut bentuk, rupa, saiz dan sebagainya.
3-Contoh-contohnya seperti berikut:
Baris- Untuk benda yang tersusun atau orang yang beratur seperti kedai,pokok,orang.
Batang – Untuk benda yang panjang seperti pembaris, kayu,sungai,pen dan sebagainya.
Biji – Untuk benda yang kecil-kecil seperti telur, manik,buah-buahan dan sebagainya.
Cucuk – Untuk benda-benda tang dicucuk seperti sate,buah-buahan dan sebagainya.
Das – Untuk bunyi tembakan senapang atau meriam.
Ekor – untuk haiwan seperti monyet,ayam dan sebagainya.
Gugus -Untuk pulau atau buah-buahan seperti anggur, rambutan dan sebagainya.
Ikat - untuk benda yang diikat seperti sayur, buah-buahan dan sebagainya.
Jambak – Untuk benda yang dalam bentuk berangkai-rangkai seperti bunga, anak kunci
Keping – Untuk benda yang nipis dan pipih seperti roti, papan dan sebagainya.
Ketul - Untuk benda-benda yang berketul dan padu seperti ais, arang dan sebagainya.
Laras – untuk senjata api seperi senapang, pistol, meriam dan sebagainya.
Lembar -Untuk benda yang panjang dan halus seperti benang, tali dan sebagainya.
Pasang - Untuk benda-benda yang berpasangan seperti kasut, baju dan sebagainya.
Sikat – Untuk pisang.
Ulas – Untuk isi bua seperti durian, nangka, cempedak dan sebagainya.
Utas – Untuk benda yang panjang dan dapat digulung seperti dawai, rantai,tali 

BENTUK DAN JENIS KARANGAN BAHASA MELAYU (SR)


FORMAT RASMI
FORMAT UMUM
 1.  Surat Kiriman
 1.  Fakta
 2.  Berita
 2.  Autobiografi
 3.  Ucapan
 3.  Biografi
 4.  Syarahan
 4.  Keperihalan
 5.  Perbahasan
 5.  Perbincangan
 6.  Dialog
 6.  Sambung cerita
 7.  Catatan
 7.  Peribahasa
 8.  Laporan
 8.  Cerita / Cereka

Pesta Sukan Air


Pada cuti semester pertama, saya bersama keluarga telah menyaksikan satu Pesta Sukan Air. Kami sekeluarga bertolak ke pesta tersebut yang diadakan di Tebingan Sungai Sarawak dengan menaiki kereta pada jam 8.00 pagi
     Kami sampai di tapak pesta itu kira-kira pada jam 9.00 pagi. Cuaca yang cerah pada ketika itu menarik ramai pengunjung datang ke pesta tersebut.
     Banyak acara menarik yang telah dipertandingkan pada hari itu seperti lumba bot laju, perahu panjang, dan perahu berhias. Kami berasa seronok menyaksikan pertandingan tersebut.
     Suasana di pesta itu riuh-rendah dengan suara para pengunjung dan para peniaga. Ada yang membawa keluarga, anak-anak, dan berkunjung bersama rakan.
     Pesta Sukan Air tersebut berakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari. Orang ramai beransur pulang. Alangkah baiknya jika aktiviti ini diadakan lagi .

Mutiara Kata


Fikir kena buat,
Kata kena kota,
Tanggung kena jawab,
Cakap kena laksana,
Sesat kena bertanya,
Khayal kena sedar,
Tak tahu kena belajar,
Berilmu kena amal,
Penat kena rehat,
Ada penyakit kena ubat,
Beri salam kena jawab,
Jadi guru kena mendidik

Simpulan Bahasa

FAEDAH-FAEDAH MURID MENYERTAI SEMINAR PEPERIKSAAN

Seminar peperiksaan memberi banyak faedah kepada murid.Faedah-faedah itu termasuklah dapat mengetahui rahsia-rahsia peperiksaan.Murid dapat mendalami teknik menjawab soalan dengan betul.Oleh itu,murid perlu merebut peluang menyertai seminar peperiksaan seperti UPSR.
        Seminar peperiksaan biasanya dianjurkan oleh pihak tertentu.Biasanya seminar dijalankan sepanjang hari Sabtu dan Ahad,di tempat -tempat yang selesa dan strategik.Waktunya pada musim cuti sekolah terutama menjelang beberapa bulan lagi peperiksaan diadakan.
        Penganjur menyediakan guru-guru pakar untuk mengendalikan seminar.Murid-murid beruntung berhadapan dengan guru ini sebab mereka sudah biasa dengan selok-belok peperiksaan.Seminar peperiksaan dapat mendedahkan murid dari segi rahsia menjawab soalan dengan betul untuk mendapat keputusan yang baik.
        Seminar mendedahkan teknik dan cara berlajar dengan betul dan berkesan.Teknik ini jarang-jarang dipelajari di sekolah sebab kesuntukan masa.Kekurangan guru pakar juga dapat dijadikan faktornya.
        Seminar peperiksaan berfaedah sebab membekalkan murid dengan risalah bagi tiap-tiap subjek.Biasanya risalah ini mengandungi maklumat tambahan kepada apa yang telah dipelajari di sekolah.Pengalaman juga turut bertambah matang.
         Seminar peperiksaan memang berfaedah.Murid terdedah kepada suasana baru dari segi pembelajaran kerana berhadapan dengan pakar-pakar