Jumaat, 23 Disember 2011

Frasa Kerja


Frasa kerja ialah binaan yang boleh terdiri daripada satu patah kata atau lebih dengan kata kerja sebagai unsur intinya.
Secara umumnya, frasa kerja terbahagi kepada dua, iaitu;
i.              Binaan frasa kerja tanpa objek; dan
ii.            Binaan frasa kerja dengan objek

Binaan frasa kerja tanpa objek terdiri daripada kata kerja tak transitif yang mungkin diikuti oleh pelengkap kata nama, pelengkap kata adjektif, atau pelengkap frasa sendi nama. Contohnya;
·         Perompak itu bersenjatakan pisau         (pelengkapnya kata nama)
·         Orang itu sentiasa berbuat baik               (pelengkapnya kata adjektif)
·         Anaknya bermastautin di ibu kota          (pelengkapnya frasa sendi nama)

Binaan frasa kerja tanpa objek juga boleh terdiri daripada kata kerja tak transitif tanpa pelengkap atau kata kerja tak transitif dengan kata nama sebagai penerang.
Contoh;
·         Abang tertawa                                (tanpa pelengkap)
·         Kami bermain dam                                   ( kata nama dam sebagai penerang)

Binaan frasa kerja dengan objek terbahagi kepada dua bentuk.
(a)  Frasa kerja transitif dengan satu objek, misalnya
·         Bapa membeli motosikal                         (satu objek-motosikal)
(b)  Frasa kerja transitif dengan dua objek, misalnya;
·         Bapa membelikan abang motosikal     (dua objek-abang[objek tepat]
                                                                       dan motosikal [objek sipi])

Frasa   kerja boleh mengandung kata bantu, sama ada kata bantu aspek atau kata bantu ragam. Contoh;
·           Ridhwan pernah menulis cerpen                       (mengandung kata bantu aspek                                                                                   pernah)
·           Hasmidar hendak meminjam pen         ( mengandung kata bantu ragam                                                                      hendak)
Frasa kerja, sama ada jenis transitif atau tak transitif, boleh menerima ayat komplemen. Contoh;
·         Dia mengaku bahawa dia cinta akan gadis itu
(Frasa kerja transitif dengan ayat komplemen)                                  
·         Beliau berkata bahawa masalah itu harus didedahkan segera
( Frasa kerja tak transitif dengan ayat komplemen)

Frasa kerja juga boleh menerima unsur keterangan yang hadir selepas kata kerja. Unsur keterangan terbahagi kepada jenis-jenis yang berikut;
(a)  Keterangan tempat atau arah, contohnya;
·         Abang saya belajar diseberang laut.
·         Adik melompat ke atas tilam.
(b)  Keterangan waktu, misalnya;
·         Perlawanan itu tamat pada jam sepuluh setengah malam.
·         Dia menyudahkan jawapannya dalam tempoh satu jam
(c)  Keterangan cara, contohnya;
·         Air sungai mengalir deras                                    (keterangan kata adjektif)
·         Air sungai mengalir dengan derasnya (keterangan frasa sendi nama)
(d)  Keterangan tujuan dan harapan, misalnya;
·         Mereka bekerja demi sesuap nasi
·         Dia belajar untuk masa depannya.
(e)  Keterangan alat, contohnya;
·         Mereka pergi dengan kapal terbang
·         Azhar menebang pokok dengan kapak.
(f)   Keterangan penyertaan, contohnya;
·         Anuar mengusahakan sawah itu dengan adik-beradiknya
·         Puan Julia pergi melancong ke Itali dengan suaminya
(g)  Keterangan hal, misalnya
·         Sasterawan itu sedang berbicara tentang teknik penulisan novel
·         Kabinet akan mengeluarkan laporan mengenai kenaikan harga minyak
(h)  Keterangan bagai, misalnya;
·         Dia menjerit-jerit bagai orang kerasukan hantu
·         Nisha bergaya seperti peragawati
Dalam binaan ayat dasar, frasa kerja dapat berfungsi sebagai predikat.
Contohnya;
·         Emak sedang mengemas rumah.

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum Cikgu Maslan :) Ingat saya Atikah Syukrina? Post yang sangat berguna untuk bahan rujukan saya bagi membuat tugasan. Terima kasih cikgu, semoga sihat sentiasa :D

    BalasPadam