Jumaat, 24 Disember 2010

Sistem Bunyi Bahasa Melayu


Bahasa Melayu mempunyai sistem bunyi yang tersendiri dan untuk menguasai kemahiran bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik dan berkesan, seseorang pengguna bahasa perlulah mempunyai pengetahuan yang mendalam tentangnya. 
Kajian bunyi lazimnya terbahagi kepada dua bidang, iaitu fonetik dan fonologi. Fonetik mengkaji bunyi bahasa dari segi penyebutan dan pendengaran atau sifatnya. Fonologi pula mengkaji bunyi-bunyi yang berfungsi  dalam sesuatu bahasa.
ALAT PERTUTURAN DAN FUNGSINYA  

1.
Bibir atas
11.
Tengah lidah
2.
Bibir bawah
12.
Belakang lidah
3.
Gigi atas
13.
Akar lidah
4.
Gigi bawah
14.
Epiglotis
5.
Gusi
15.
Pita suara
6.
Lelangit keras
16.
Rongga tekak
7.
Lelangit lembut
17.
Rongga Hidung
8.
Anak tekak
18.
Rongga mulut
9.
Hujung lidah
19.
Rahang
10.
Hadapan lidah
20.
Tenggorok

FUNGSI ALAT PERTUTURAN 
Lidah
   Lidah ialah alat artikulasi yang terpenting dan paling aktif dalam pengeluaran bunyi bahasa. Lidah terbahagi kepada  empat bahagian, iaitu hujung lidah, tengah lidah, hadapan lidah, dan  belakang lidah. Pembahagian ini membolehkan lidah membuat deskripsi pelbagai jenis penghasilan bunyi. Bahagian hadapan lidah, tengah lidah dan belakang lidah penting dalam pengeluaran bunyi-bunyi vokal, iaitu bunyi vokal hadapan, tengah dan belakang. Hujung lidah merupakan bahagian paling aktif dan boleh digerakkan ke mana-mana bahagian mulut untuk membuat penyekatan.  
Gigi 
   Gigi juga berperanan dalam penghasilan bunyi bahasa tetapi peranannya tidaklah aktif. Kedudukannya yang statik dan sentiasa digunakan sebagai penampan aliran udara dalam penghasilan bunyi. Penampan aliran udara inilah yang menghasilkan bunyi. 
Bibir 
   Bibir adalah alat artikulasi yang terletak pada bahagian luar rongga mulut. Bibir terdiri daripada otot-otot kenyal yang boleh dihamparkan dan dibundarkan dan berperanan  mengeluarkan bunyi yang berbagai-bagai. Bibir juga menjadi sempadan paling luar daripada rongga mulut. Bibir juga berfungsi membuat sekatan kepada udara yang keluar daripada rongga mulut. 
Gusi
   Gusi merupakan bahagian yang embung dan menurun dari gigi ke bahagian dalam rongga mulut. Organ ini digunakan sebagai daerah sebutan dengan bantuan hujung lidah yang berfungsi membuat penyekatan. 
Lelangit 
   Lelangit dapat dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu lelangit keras dan lelangit lembut.  Lelangit lembut menganjur dari sempadan lelangit keras hingga ke akhir rongga mulut. Lelangit keras bermula dari sempadan gusi di bahagian hadapan atas rongga mulut dapat diturunnaikkan untuk menutup atau membuka saluran rongga tekak terus ke rongga hidung. Apabila dinaikkan, rongga mulut akan terbuka dan udara akan keluar melalui rongga mulut dan apabila diturunkkan, rongga mulut akan tertutup dan udara terpaksa keluar melalui rongga hidung.  
Rongga Hidung 
   Terletak di atas rongga mulut yang dipisahkan oleh lelangit. Rongga hidung boleh dibuka atau ditutup, bergantung kepada keadaan sama ada anak tekak dan lelangit lembut dinaikkan atau tidak.
Pita Suara
   Pita suara terletak dalam ruang tenggorok (halkum) dan amat penting dalam penghasilan bunyi. Proses pengeluaran suara berlaku dengan cara memperluas dan mempersempit lubang yang terdapat di antara dua keping selaput nipis berkenaan.
 
JENIS-JENIS BUNYI
Bunyi Vokal 
   Bunyi vokal terhasil apabila udara keluar daripada rongga mulut tidak mengalami sekatan atau himpitan.  Bunyi vokal juga dipengaruhi oleh  pengaruh lidah, keadaan rongga mulut dan bentuk bibir.   
Kedudukan vokal-vokal dapat dilihat seperti berikut:

PENGHASILAN BUNYI VOKAL 
Vokal Depan Sempit   (i) 
    Untuk mengeluarkan bunyi vokal ini, depan lidah dinaikkan hingga hampir menyentuh lelangit keras, sementara hujung lidah didekatkan pada gusi.
Lelangit lembut diangkat untuk menutup rongga hidung. Udara dari paru-paru melalui rongga mulut sambil menggetarkan pita suara tanpa sekatan, halangan atau himpitan yang boleh menyebabkan geseran kedengaran. Bibir berada dalam keadaan terhampat. 
Contoh: bilik, titik, ipar, jari, cari 
Vokal Depan Separuh Sempit  (e) 
    Untuk menghasilkan bunyi ini depan lidah dinaikkan, tetapi tidaklah setinggi membunyikan vokal (i). 
Contoh: kole, tauge, bendi, elok
Vokal Depan Separuh Luas 
   Untuk mengeluarkan  vokal ini depan lidah diturunkan sepertiga dari kedudukan untuk mengeluarkan vokal ( e ). Kedudukan alat pertuturan adalah sama  seperti semasa mengeluarkan bunyi  vokal (i) dan (e). 
Contoh: tauke, gelek, gesek, gerek
Vokal Depan Luas ( a) 
   Untuk mengeluarkan bunyi vokal ini,  depan lidah diturunkan serendah-rendahnya. Lelangit lembut berkeadaan terangkat rapat ke belakang tekak dan menutup rongga hidung.  Kedudukan alat pertuturan lain adalah sama seperti menghasilkan vokal (i), dan (e). 
Contoh:  anak,  pandai, landai, anting, siapa, takat
Vokal Belakang Sempit (u) 
    Dihasilkan dengan mengangkat belakang lidah setinggi mungkin ke atas, tetapi tidak menutup ruang aliran udara. Bentuk bibir dibundarkan. 
Contoh: ubat, ulat, undang, udang, ulang 
Vokal Separuh Sempit ( o ) 
    Dihasilkan dengan menurunkan belakang lidah 1/3 di antara tempat yang paling tinggi dan tempat yang paling rendah. Keadaan bibir pula dibundarkan. 
Contoh: obor, solo, polo, toko, orang  
Vokal Belakang Separuh Luas  
   Dihasilkan apabila belakang lidah diturunkan 1/3 daripada kedudukan separuh sempit dan bentuk bibir turut dibundarkan. Vokal ini tidak terdapat dalam bahasa Melayu.
Vokal Tengah   
   Dihasilkan dengan meletakkan lidah seperti biasa di lantai rongga mulut. Bahagian tepi lidah dilengkungkan sedikit, manakala rongga mulut berkeadaan sederhana luasnya. 
Contoh: enam, empat, kenduri, gerai 
DIFTONG   
    Gabungan bunyi vokal dinamakan diftong. Diftong terbentuk apabila berlaku pengeluncuran bunyi-bunyi vokal. Satu vokal mengeluncur dari satu vokal kepada vokal yang lain. Terdapat 3 jenis diftong. 
a. (ai):     sampai, salai, gulai, sungai, cuai, landai
b. (au):    lampau, silau, garau, surau, pukau
c. (oi):     amboi, dodoi,  adoi, sepoi, boikot.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan