Soalan 1
Tulis lima nilai yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah ini. Panjangnya jawaban kamu mestilah tidak lebih daripada 50 patah perkataan. Tulis jawaban kamu dalam satu perenggan.
Sandy, Eisya, dan Siew Lin ialah murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan Sri Indah. Mereka berkawan sejak dari sekolah tadika lagi. Mereka mempunyai latar belakang yang berbeza. Walaupun begitu, mereka dapat bergaul dengan mesra. Ibu bapa Sandy bekerja sebagai guru. Ibu bapa Eisya pula telah bercerai dan ibunya bekerja sebagai pegawai tadbir. Siew Lin pula anak yatim piatu. Dia tinggal bersama dengan kakak dan abang iparnya.
Mereka bertiga merupakan kawan karib dan sering kunjung-mengunjungi antara satu sama lain untuk belajar atau bermain. Keluarga mereka gembira dengan kehadiran mereka di rumah masing-masing. Walaupun mereka kawan karib, namun adakalanya mereka tidak sependapat. Tetapi mereka sentiasa bertolak ansur dan menghormati pendapat satu sama lain. Apa-apa masalah yang dihadapi oleh mereka dapat diselesaikan secara berhemah dan berkompromi.
Nilai-nilai yang terdapat dalam petikan:
- Berfikiran terbuka – dapat bergaul mesra biarpun daripada latar belakang yang berbeza
- Kasih sayang - berkawan baik dan sering kunjung-mengunjungi antara satu sama lain
- Bersikap positif - keluarga mereka gembira dengan kehadiran mereka dirumah masing-masing
- Menghargai orang lain - sentiasa bertolak ansur dan menghormati pendapatdan pandangan yang berbeza
- Kesatuan - semua masalah yang dihadapi dapat diselesaikan secara berhemah dan berkompromi
Soalan 2
Tulis lima nilai yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah ini. Panjangnya jawaban kamu mestilah tidak lebih daripada 50 patah perkataan. Tulis jawaban kamu dalam satu perenggan.
Peperiksaan akhir tahun akan bermula dua minggu lagi. Praven masih belum mengulangkaji pelajarannya. Sebaliknya, dia lebih suka menghabiskan masanya dengan bermain permainan video dan menonton televisyen hingga larut malam. Ibunya selalu menasihatinya agar mengulangkaji pelajaran kerana peperiksaan hampir tiba. Tetapi Praven tidak menghiraukan nasihat ibunya.
Esok peperiksaan akan bermula pada jam 8.00 pagi. Praven berasa gelisah kerana belum mengulangkaji pelajarannya. Dia berazam untuk menghabiskan ulangkajinya pada malam itu. Praven membuat keputusan untuk berjaga sampai lewat pagi. Bagaimanapun, Praven tidak dapat menghabiskan ulangkajinya. Dia tertidur di atas meja tulisnya.
Apabila dia tersedar jam sudahpun menunjukkan pukul 7.50 pagi. Praven bergegas bangun dan bersiap ke sekolah. Malangnya dia ditinggalkan bas pada pagi itu. Praven sangat kesal dan sedih kerana tidak dapat menduduki peperiksaan.
Nilai-nilai yang terdapat dalam petikan:
- Sikap suka bertangguh akan merugikan diri sendiri - Praven belum mengulangkaji pelajarannya sedangkan peperiksaan tinggal dua minggu sahaja lagi
- Masa yang tidak digunakan sebaik-baiknya akan sia-sia - Praven menghabiskan masanya dengan bermain permainan video dan menonton televisyen
- Sikap degil membwa padah - sikap Praven yang tidak menghiraukan nasihat ibunya menyebabkan dia terpaksa membuat ulangkaji sampai lewat pagi
- Kerja yang dibuat tergesa-gesa tidak akan menjadi - Praven tidak dapat menghabiskan ulang kajinya, sebaliknya tertidur di atas meja studinya
- Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna - Praven kesal dan sedih kerana tidak dapat menduduki peperiksaan
Tulis lima nilai yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah ini. Panjangnya jawaban kamu mestilah tidak lebih daripada 50 patah perkataan. Tulis jawaban kamu dalam satu perenggan.
Kim Boon duduk bersebelahan dengan Adnan di dalam kelas. Semasa ujian matematik, Adnan telah meniru jawapan Kim Boon tanpa disedarinya. Rakan sekelas mereka Liza telah nampak perbuatan Adnan itu. Tetapi dia tidak berani memberitahu guru mereka. Cikgu Haris telah menyedari perbuatan mereka. Dia mengesyaki Kim Boon dan Adnan meniru dalam ujian tersebut. Cikgu Haris membuat keputusan menggagalkan mereka berdua.
Kim Boon sangat terkejut apabila menerima keputusan peperiksaannya. Markahnya yang 100% telah dipangkah dan ditukar kepada 0 kerana dia didapati meniru. Dia terus berjumpa dengan Cikgu Haris dan menerangkan yang dia tidak tahu Adnan telah menirunya dalam ujian tersebut. Cikgu Haris telah memanggil Adnan ke bilik guru. Liza juga hadir untuk menerangkan keadaan sebenar yang berlaku . Selepas membuat soal siasat, Adnan mengakui yang Kim Boon tidak terlibat dalam perkara tersebut. Cikgu Haris meminta maaf kepada Kim Boon dan memberi markah yang wajar kepadanya.
Nilai-nilai yang terdapat dalam petikan:
- Tegas - Cikgu Haris membuat keputusan mengagalkan Kim Boon dan Adnan yang disyaki meniru
- Berani - Kim Boon pergi berjumpa dengan Cikgu Haris dan menerangkan yang dia tidak tahu Adnan telah menirunya
- Adil - Cikgu Haris bertindak menyiasat perkara tersebut
- Nekad - Liza tampil ke hadapan menerangkan keadan sebenar yang berlaku
- Berani mengaku salah - Adnan mengakui kesalahannya meniru Kim Boon
- Bertimbang rasa - Cikgu Haris meminta maaf kepada Kim Boon dan memberi markah yang wajar kepadanya
Soalan 4
Tulis lima nilai yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah ini. Panjangnya jawaban kamu mestilah tidak lebih daripada 50 patah perkataan. Tulis jawaban kamu dalam satu perenggan.
Srikandi handal bermain senjata,
Bijak pula bermadah seloka;
Aman harmoni negara tercinta,
Berkat usaha sejak merdeka.
Segak bergaya pahlawan gagah,
Mengembara sampai ke Andalusia;
Di mata dunia terkenal megah,
Barang buatan negara Malaysia.
Mudik ke hulu berkayuh sampan,
Nakhoda belayar ke Pulau Jawa;
Tanah airku pusaka warisan,
Relaku korban harta dan nyawa.
Jika tuan pergi ke kota,
Jangan lupa membeli cendawan;
Negara kita tanggungjawab kita,
Jadi teras pemupuk perpaduan.
Nilai-nilai yang terdapat dalam petikan:
- Bersyukur - negara kita berada dalam keadaan aman dan damai hasil kerjasama pemimpin dan rakyat
- Bangga dengan barangan keluaran Malaysia - barang keluaran negara kita kini terkenal di serata dunia
- Cinta akan negara - rela mengorbankan harta dan nyawa demi membela
tanah air
- Bersedia memikul tanggungjawab - semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama bertanggungjawab terhadap negara ini
- Perpaduan - rakyat dapat disatukan oleh rasa tanggungjawab bersama terhadap negara ini
Soalan 5
Tulis lima nilai yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah ini. Panjangnya jawaban kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan. Tulis jawaban kamu dalam satu perenggan.
Darlina ialah murid tahun lima. Darlina mempunyai empat orang adik. Ayah Darlina telah meninggal dua tahun lalu. Ibunya pula bekerja sebagai operator kilang. Pada sebelah pagi, ibunya akan bangun awal untuk membuat kuih dan nasi lemak. Setiap hari, Darlina akan menolong ibunya menghantar kuih dan nasi lemak untuk dijual di gerai makanan berhampiran. Tuan punya gerai itu bermurah hati membenarkan kuih dan nasi lemak mereka dijual di situ.
Walaupun hidup dalam serba kekurangan, tetapi Darlina sekeluarga tidak pernah meminta-minta daripada orang lain. Darlina menyimpan hasrat untuk menjadi seorang doktor suatu hari nanti. Dia bukan setakat berangan-angan sahaja. Dia amat meminati subjek sains dan matematik. Darlina sentiasa menunjukkan kesungguhan untuk memahami pengajaran guru-gurunya. Dia berazam untuk membaiki taraf kehidupan keluarganya. Adik-adiknya juga belajar tanpa perlu dipaksa. Mereka sedar hanya dengan ilmu sahaja boleh mengubah hidup mereka.
Nilai-nilai yang terdapat dalam petikan:
- Rajin - ibu bangun awal untuk membuat kuih dan nasi lemak
- Bertanggungjawab - setiap pagi Darlina menolong ibunya menghantar kuih dan nasi lemak ke gerai berhampiran
- Murah hati - tuan punya gerai bermurah hati membenarkan mereka menjual kuih dan nasi lemak di gerainya
- Berdikari - tidak pernah meminta-minta daripada orang lain
- Bercita-cita tinggi - bercita-cita untuk menjadi seorang doktor
- Tekun - sentiasa menunjukkan kesungguhan untuk memahami pengajaran guru
- Bertekad tinggi - berazam untuk membaiki taraf hidup keluarga
- Mempunyai kesedaran - adik-adiknya belajar tanpa perlu dipaksa kerana mereka sedar hanya dengan ilmu pengetahuan boleh mengubah hidup mereka
Tiada ulasan:
Catat Ulasan