Jumaat, 23 Disember 2011

Konsep Morfologi

Pembentukan Kata dalam bahasa Melayu mempunyai beberapa cara membentuk perkataannya. Ada bentuk perkataan yang bersifat tunggal, contohnya rumah, tinggal dan putih. Di samping itu terdapat perkataan yang dibentuk hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Contoh perkataan yang dibentuk secara pengimbuhan ialah meninggal dan meninggalkan. Contoh perkataan yang dibentuk secara pemajmukan ialah reka bentuk dan surat khabar. Manakala contoh perkataan yang dibentuk secara penggandaan ialah besar – besar dan baju – baju.
Aspek morfologi yang diberikan tumpuan ialah:

a. Struktur kata yang merujuk kepada pola suku kata bagi:
- kata asli bahasa Melayu
- kata pinjaman bahasa Melayu
b. Bentuk kata terdiri daripada:
- bentuk kata tunggal
- bentuk kata terbitan
- bentuk kata majmuk
- bentuk kata ganda
Proses pembentukan kata menerangkan bagaimana sesuatu kata itu dibina dan dibentuk sehingga dapat menghasilkan ayat dan ujaran dalam sesuatu bahasa.  Ada perkataan yang berbentuk tunggal, misalnya perkataan satu, baik, sekolah dan panjat.  Terdapat perkataan yang terbentuk hasil daripada proses pengimbuhan, misalnya perkataan berkawan, terjunam dan disarankan.  Ada juga perkataan yang terbentuk hasil daripada pemajmukan dan penggandaan, misalnya buku tulis, gambar rajah, kertas kerja, bahan-bahan, bukit-bukau dan bantu membantu.
Bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa di dunia yang bersifat aglutinatif, iaitu jenis bahasa dan kebanyakan perkataannya terbentuk melalui proses pengimbuhan, iaitu penggabungan morfem kata dasar dengan morfem imbuhan.   Proses pembentukan yang bersifat derivatif ini dapat menerbitkan banyak perkataan, iaitu melalui pencantuman kata dasar dengan pelbagai imbuhan yang terdapat dalam bahasa Melayu.  Sebagai contoh, perkataan “serap” apabila mengalami proses pembentukan kata dapat menerbitkan pelbagai perkataan baharu, iaitu ‘menyerap’, ‘menyerapkan’, ‘penyerapan’, ‘terserap’, ‘menyerapi’, ‘serapan’, ‘terserapkan’, ‘daya serap’, dan sebagainya.
Kaedah pembentukan kata seperti yang terdapat dalam bahasa Melayu ini tidak sama dengan pembentukan perkataan dalam bahasa yang bersifat fleksi seperti bahasa Arab.  Cara membentuk dan mewujudkan perkataan dalam bahasa tersebut adalah melalui kejadian perubahan fonem atau bunyi kata dasar bahasa itu sendiri, iaitu berdasarkan golongan kata atau kasusnya.
         Secara umumnya , perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu itu wujud melalui dua sumber, iaitu melalui asal-usul bahasa Melayu itu sendiri.  Bahasa Melayu berasal daripada rumpun bahasa Austronesia dan melalui sumber yang diwarisi itu, sejumlah perkataan yang terdapat dalam bahasa Melayu telah diwujudkan sehingga hari ini. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan