Ahad, 28 April 2013


TEKNIK PANTOMIN
Pantomin adalah lakonan situasi tanpa dialog manakala skripnya akan dibaca oleh pelajar lain mengiringi lakonan tersebut. Lakonan jenis ini dapat memberi peluang kepada pelajar berlakon dengan yakin tanpa memikirkan masalah menghafaz dialog.

Melalui aktiviti pantomin , Nellie Mc. Caslin (1984) dalam buku Drama Dalam Pengajaran Bahasa , menyatakan bahawa pelajar-pelajar dapat melatih diri dalam menguasai kemahiran mendengar iaitu ia harus meneliti dan mendengar skrip yang dibaca agar ia dapat melakonkan watak itu seperti yang diperlukan oleh skrip. melalui aktiviti pantomin ini juga, pelajar diberi peluang untuk melahirkan perasaannya melalui gerak badan dan bukan melalui kata-kata. Ini dapat membina keyakinan diri dan motivasi kepada pelajar-pelajar yang lemah dalam kemahiran lisan.

Guru harus memperkenalkan pantomin tentang sesuatu cerita dengan langkah-langkah yang mudah. Di samping itu, ia perlu menerangkan dan menerangkan apakah pantomin yang perlu dilakukan oleh seseorang pelakon sebelum pelajar berlakon. Misalnya guru boleh berpentomin bagaimana membuak hadiah hari jadi, memotong rumput di padang, menangkap ikan dan sebagainya.

Permainan teka teki atau tajuk nyanyian boleh dijadikan aktiviti permulaan pada pantomin. Pelajar perlu melakonkan pantomin secara individu untuk memahirkan teknik-teknik itu dahulu sebelum mempantominkan dengan dua orang apabila sudah mahir dalam teknik ini, ia boleh mencuba pentomin itu dalam kumpulan yang memerlukan penyelarasan dengan beberapa orang pelakon yang lain. Untuk pantomin kumpulan, seorang pelajar boleh membaca cerita dengan suara yang kuat sambil melakonkan pantomin itu.

Aktiviti ini boleh dijalankan dengan iringan muzik latar yang sesuai. Guru dan pelajar yang menjadi penonton menyediakan ruang lakonan dan peralatan yang diperlukan.

8.1       Ciri-Ciri Pentomin
Sebelum melaksanakan pengajaran dengan menggunakan teknik drama dengan aktiviti pentomin di bilik darjah, guru sewajarnya mengetahui ciri-ciri pantomin. Antara ciri-ciri pantomin adalah seperti berkut:-
i.              Tanpa Dialog -  Pengendalian aktiviti pantomin adalah mudah. Semasa beraksi pelakon tidak perlu berdialog. Kemudian ini memberi peluang kepada pelajar berlakon dengan penuh yakin tanpa memikirkan masalah menghafaz dialog. Arahannya dapat difahami melalui suara.
ii.            Apresiasi terhadap watak – Pelakon seharusnya terlebih dahulu menghayati skrip bersama-sama dengan pembaca skrip sebelum memulakan lakonan. Ini supaya lakonan dapat diselaraskan dengan skrip yang dibaca oleh pelajar lain. Tumpuan perhatian hanya kepada latihan aksi dan teknik persembahan sahaja.
iii.           Tanpa Prop – ketika melaksanakan aktiviti ini, prop tidak dipentingkan. Pelakon hanya melakonkan aksi sahaja. Contohnya, perbuatan mengasap kemenyan tanpa menggunakan kemenyan dan bara api, doktor merawat pesakit tanpa menggunakan alat dan sebagainya.
iv.           Menggunakan kostum yang sedarhana – Pelakon tidak perlu bersolek atau berhias dan berpakaian yang berlebihan ketika mempersembahkan pantomin. Sudah mencukupi sekiranya pelakon hanya memakai sebuah topeng atau memberikan gambaran yang sedarhana. Dengan kata lain, pentomin dapat menjimatkan kos dan tidak perlu berbelanja banyak.
v.            Pemilihan bahan – guru mempunyai banyak pilihan dalam menentukan bahan yang akan digunakan untuk proses pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan teknik drama dengan aktiviti pantomin ini. Antara yang boleh dan difikirkan sesuai digunakan oleh guru ialah:
a.    Cerita dan skrip
b.    Puisi ( sajak, nyanyian, syair, mentera dan sebagainya.

8.2       Objektif Penggunaan Pantomin Dalam Bilik Darjah
            Pantomin boleh digunakan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Penggunaan teknik dengan aktiviti pantomin ini mempunyai objektif tertentu. Antaranya ialah:-
i.              Meningkatkan keyakinan pelajar supaya dapat beraksi dengan baik tanpa perlu menghafal dialog.
ii.            Memberi peluang kepada semua pelajar yang berminat sama ada yang berkebolehan tinggi atau sedarhana mengambil bahagian dalam aktiviti ini. Aktiviti  ini tidak memerlukan aksi yang terlalu banyak kerana dialognya dibaca oleh pelajar lain (pencerita) dalam bentuk suara latar.
iii.           Memudahkan pengendalian aktiviti di dalam bilik darjah. Ini kerana dalam pantomin pelajar tidak perlu melafazkan dialog. Manakala arahan aksi yang perlu dibuat dalam bentuk latar sama ada dibaca atau dirakam.
iv.           Melibatkan lebih ramai pelakon. Oleh itu, guru dapat mencungkil bakat pelakon dalam kalangan pelajar walaupun lakonan dilakukan tanpa dialog. Hal ini boleh dilakukan sebagai latihan ke arah lakonan drama.
v.            Menggalakkan latihan kemahiran berfikir. Ini kerana lakonan tidak terhad kepada melakonkan cerita tetapi juga cetusan peristiwa realistik dan simbolik. Di sini pelajar dapat melatih diri mereka untuk membuat tafsiran terhadap sesuatu yang mereka dengar dan lihat.
vi.           Memberi keberkesanan kepada proses pengajaran dan pembelajaran terutama dalam pengajaran puisi. Dengan ini pelajar dapat menghayati isi dan maksud puisi selaras dengan aksi yang dipersembahkan.
vii.          Melalui aktiviti pantomin ini , guru dapat menolong pelajar agar dapat membiasakan diri dengan idea persembahan di hadap kawan-kawan tanpa menggunakan bahasa.
viii.        Guru dapat menimbulkan suasana yang menyeronokan unhtuk meneruskan aktiviti pantomin. Di samping itu, guru dapat membantu pelajar untuk mengulang kaji serta mengukuhkan pembelajaran kosa kata.

8.3       Pelaksanaan  Aktiviti
Untuk melaksanakan aktiviti atau persembahan pantomin dalam proses pengajaran dan pembelajaran guru-guru perlu mengambil kira beberapa perkara iaitu:-

8.4       Hubungan Antara Guru Dan Pelajar
Hubungan guru dengan pelajar, pelajar dengan guru dan pelajar dengan pelajar perlu diambil kira. Guru harus mewujudkan suasana yang harmonis dan meyakinkan pelajar. Keadaan ini akan membuat pelajar merasa bersedia untuk mengambil bahagian. Guru tidak harus menunjukkan sifat pilih kasih dalam memlilih pelajar yang akan menjayakan aktiviti ini. Guru harus mengadakan perbincangan terlebih dahulu mengenai watak dalam lakonan tersebut.

8.5       Persekitaran Yang Selesa.
Guru harus bijak dalam pengurusan bilik darjah semasa menjalankan aktiviti. Susunan kerusi, meja dan alatan kelas haruslah sesuai supaya dapat memberi ruang yang mencukupi untuk lakonan.

8.6       Faedah Penggunaan Pantomin
Melalui aktiviti pantomin ini , banyak faedah yang diperolah. Antara faedah-faedah tersebut ialah:-
i.      Menyampaikan idea – biasanya pelajar amat sukar untuk menyampaikan idea terutamanya dalam penulisan. Melalui cara berlakon seperti ini , pelajar dapat mengingat sesuatu peristiwa berdasarkan lakonan dan dapat mencatatkannya dengan berkesan. Dengan itu, aktiviti ini dapat meningkatkan daya pemikiran pelajar supaya lebih cergas dan berkeyakinan di samping membentuk fikiran yang aktif dan kreatif.
ii.    Memusatkan perhatian – Menerusi lakonan, pelajar dapat dilatih  menumpukan perhatian dan minat dengan sepenuhnya. Cara ini memberikan latihan yang baik supaya pelajar dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran. Di samping itu dapat melatih mendidiplinkan pelajar dengan arahan dan peraturan.
iii.   Melatih kemahiran pengucapan – semasa rakan berlakon, ada pelajar yang membaca skrip. pelajar yang membaca skrip ini perlu peka terhadap lakonan dan menuturkan dialog dalam bahasa yang betul, tepat serta menggunakan intonasi dan jeda yang tepat. Ini membolehkan pelajar berdialog dengan bahasa yang teratur, jelas dan indah.
iv.   Mengarang berdasarkan peristiwa- selain meneliti dialog dan menonton, pelajar dapat meningat peristiwa yang berlaku di hadapan mata mereka dengan jelas. Keadaan ini memberi peluang mereka mencatat peristiwa yang berlaku dan kemudian menyusunnya dalam bentuk isi. Guru dapat mencadangkan hal ini lebih jelas supaya menjadi sebuah karangan yang lengkap. Ini kerana guru membawa peristiwa di alam nyata ke dalam bilik darjah.

8.7       Contoh Penggunaan Pantomin Dalam Pembelajaran Di Bilik Darjah.
Biasanya guru menggunakan pantomin dalam langkah pengajaran. Oleh itu, guru perlu membuat perancangan dan persediaan yang rapi bagi melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran ajar objektif pengajarannya tercapai.

Persediaan Sebelum Persembahan
i.              Guru memilih bahan yang sesuai sama ada cerita dan skrip atau puisi. Bahan yang dipilih perlu sesuai dengan peringkat umur dan kebolehan pelajar.
ii.            Guru meminta pelajar membaca dan menghayati skrip yang diberikan.
iii.           Mengadakan sesi perbincangan dengan pelajar tentang watak-watak yang terdapat dalam cerita tersebut.
iv.           Beberapa orang pelajar dipilih untuk melakonkan cerita dan seorang pelajar dipilih untuk membaca skrip cerita manakala pelajar-pelajar lain menjadi penonton.
v.            Aktiviti ini dijalankan dengan iringan muzik latar. Guru harus memlilih muzik yang sesuai bagi mewujudkan suasana yang menarik.
vi.           Guru dan pelajar yang menjadi penonton menyediakan ruang lakonan dan peralatan lain yang perlu dan diletakkan di tengah-tengah ruang lakonan.
vii.          Pelajar yang tidak mengambil bahagian diberi arahan oleh guru mengenai aktiviti-aktiviti yang dilakukan selepas tamat lakonan.

Semasa Persembahan
Guru memberi penerangan dan arahan kepada pelajar-pelajar yang mengambil bahagian.
Selepas Persembahan
i.              Guru memberi peneguhan terhadap persembahan lakonan pelajar-pelajar agar mereka merasa diperlukan dan dihargai.
ii.            Menerusi aktiviti pantomin ini, guru boleh meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran dengan pelbagai aktiviti lain yang berkaitan dengan pantomin yang dipersembahkan. Guru dan pelajar mengadakan perbincangan tentang isi lakonan dan membuat latihan bahasa yang sesuai dengan objektif dan kemahiran yang ingin dicapai, di saping itu untuk membaiki kesilapan yang mungkin wujud dan mendapatkan maklum balas. Antara aktiviti lanjutan ialah:-
-       Mengadakan sesi soal jawab bagi menguji kemahiran lisan pelajar.
-       Mengadakan sesi perbincangan secara berkumpulan.
-       Meminta pelajar menceritakan semula apa yang dilihat dalam persembahan pantomin.
-       Mengadakan perbahasan.
-       Mengadakan aktiviti penulisan seperti menjawab soalan pemahaman.

2 ulasan:

  1. Terima kasih atas perkongsian ilmu, sangat-sangat membantu, jazakallah hu khairan kathira..

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum... cikgu boleh kongsikan tak daripada mana cikgu dapat sumber pantomim ini ? tajuk buku ke ? url ke ?.. saya sedang cari maklumat2 berkaitan pantomim..

    BalasPadam